Khamis, September 27, 2007

Utusan Malaysia 26.09.2007

Supritendan polis didakwa terima wang haram RM1.2 juta

Oleh HASNURUL MOHAMED


Azmi Osman.

JOHOR BAHRU 25 Sept. – Seorang pegawai kanan polis berpangkat supritendan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1.263 juta.

Tertuduh, Azmi Osman, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan berasingan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zanol Rashid Hussain.

Dia hadir di mahkamah dengan ditemani peguam bela, N. Sridharan.

Tertuduh ditahan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya, semalam.

Dalam pertuduhan pertama, Azmi didakwa pada 19 Ogos 2003 di Malayan Banking Berhad di Lot M1022, Level 3, Johor Bahru City Square, Jalan Wong Ah Fook di sini melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima wang hasil daripada aktiviti haram sebanyak RM71,870.70 melalui akaun semasa Malayan Banking Berhad.

Dalam pertuduhan kedua, tertuduh pada 13 Januari 2004 dan 17 November 2004 didakwa menerima wang hasil daripada aktiviti haram sebanyak RM941,930 di tempat yang sama menggunakan akaun semasa yang sama.

Dalam pertuduhan ketiga, pada 5 April 2005 dia didakwa di tempat yang sama, akaun semasa yang sama dan pertuduhan kesalahan yang serupa menerima wang hasil daripada aktiviti haram sebanyak RM250,000.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang pegawai kanan polis disiasat kerana disyaki mengumpul harta bernilai RM9 juta secara haram sejak beberapa tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Zulkifli Ahmad mencadangkan agar tertuduh ditawarkan jaminan RM200,000 atas kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin manakal dokumen perjalanan seperti pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah.

Pihak peguam bela mengemukakan 10 alasan ketika meminta wang jaminan itu dikurangkan kepada RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Antaranya ialah akaun dan harta tertuduh telah disita selain tertuduh sakit jantung.

Mahkamah bagaimanapun memutuskan ikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh membuat akujanji supaya menyerahkan dokumen perjalanan kepada pegawai BPR.

Mahkamah menetapkan 31 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, esok, tertuduh dijadualkan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Temerloh, Pahang, atas dua lagi pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram.

Read more...

Utusan Malaysia

Supritendan polis dituduh lagi terima wang haram RM2.7 juta

Oleh Ali Mahmood


Azmi Osman.

TEMERLOH 26 Sept. – Azmi Osman, pegawai kanan polis berpangkat supritendan yang semalam didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini dihadapkan pula ke mahkamah di sini atas dua tuduhan berasingan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM2.732 juta.

Dengan tuduhan di Mahkamah Sesyen di sini pagi ini, jumlah wang daripada aktiviti haram yang didakwa diterimanya kini berjumlah RM3.995 juta.

Bagi tuduhan pertama di Mahkamah Sesyen Temerloh, Azmi, 52, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima wang hasil aktiviti haram sebanyak RM2,093,300 pada 6 Februari 2002 dan 20 Disember 2002 melalui akaun semasa Malayan Banking Berhad di No. 1, Jalan Haji Kassim, Mentakab dekat sini.

Dalam pertuduhan kedua, tertuduh pada 7 Januari 2003 didakwa menerima wang hasil aktiviti haram RM683,850 di tempat yang sama menggunakan akaun semasa yang sama.

Azmi bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ishak Bakri.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Azmi didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Jika disabitkan kesalahan, dia boleh didenda RM5 juta atau penjara tujuh tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Dzulkifli Ahmad mencadangkan mahkamah mengenakan wang ikat jamin RM200,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu dengan seorang penjamin dan dokumen perjalanan tertuduh seperti pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, N. Sridharan memohon supaya wang jaminan itu dikurangkan kepada RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan alasan akaun dan harta tertuduh telah disita selain tertuduh menghidap sakit jantung.

Hakim Ishak kemudian memutuskan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dalam kedua-dua pertuduhan itu dan mengarahkan Azmi menyerahkan dokumen perjalanannya kepada pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR).

BPR menahan Azmi di Putrajaya dua hari lalu.

Dzulkifli memohon kepada mahkamah supaya kedua-dua kes di Mahkamah Sesyen Temerloh itu dipindahkan untuk dibicarakan bersama tiga lagi pertuduhan mengikut seksyen yang sama dihadapi tertuduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 31 Oktober depan.

Mahkamah bersetuju dengan permintaan pendakwa raya itu dan mengarahkan supaya kedua-dua kes itu dibicarakan bersama tiga lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada tarikh yang telah ditetapkan.

Azmi yang ditahan oleh BPR di Putrajaya dua hari lalu telah pun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas tuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1.263 juta.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang pegawai kanan polis disiasat kerana disyaki mengumpul harta bernilai RM9 juta secara haram sejak beberapa tahun lalu.

Azmi pernah bertugas sebagai Ketua Balai Polis Maran dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh antara tahun 1997 dan awal Januari 1999.

Selepas itu, dia bertugas di Jabatan Turus D7-Maksiat dan Perjudian IPD Johor Bahru dari tahun 1999 hingga 2005 sebelum bertukar ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Read more...

Aku & kerja... Part 3

bersambung…

2-3 hari kemudian, ada orang call aku. Rupa-rupanya dia nak tawarkan aku kerja di syarikat keluarga dia. Tempatnya tak jauh dari kampung aku. Aku pun tak tahu jawatan apa yang dia nak berikan pada aku tapi aku tak fikir panjang terus terima tawaran dia. Dalam masa 4 hari kemudian, aku berhenti kerja tanpa notis berhenti yang sepatutnya dihantar seminggu sebelum berhenti. Tapi memandangkan aku bertugas dengan baik dan cemerlang, syarikat kawalan keselamatan tu tetap bayar gaji aku tanpa sebarang potongan.

Pada hari pertama aku melapor diri, baru aku tahu apa tugas aku sebenarnya. Terkejut juga aku. Dah lama hidup susah, tiba-tiba jadi senang. Rupa-rupanya aku akan jadi pengurus bagi sebuah projek perumahan kos tinggi. Tugas pertama aku adalah setup pejabat dan buat sistem operasi kerja. Kemudian buat site office sebelum boleh mula ambil pekerja-pekerja lain. Jadi Pengurus, beb…

Bila saudara mara aku tahu, diorang macam tak berapa suka. Maklumlah, lebih dari anak beranak diorang. Tapi aku tak kisah. Walau apapun yang berlaku, kami tetap saudara mara. Tak puas hati cuma sebab sedikit kelebihan yang ada namun kami tetap bersaudara. Irihati sikit-sikit tu memang normal la…

Sekarang aku suka dengan kerja ni dan tak fikir nak tukar kerja lain. Aku terhutang budi dengan bos baru aku yang memberikan aku peluang sebegini. Walaupun dia Cina tapi dia senang berkawan dengan orang Melayu dan suka membantu menaikkan bangsa Melayu. Tak macam orang lain yangterlalu bersifat perkauman.

Aku dah tak minat nak mohon kerja kerajaan sebab orang kerajaan cakap tak serupa bikin. Kata nak beri peluang pekerjaan pada siswazah yang berlambak-lambak ni tapi diorang sendiri tak nak berhenti kerja. Dulu umur berpencen adalah 50 tahun tapi diorang naikkan ke umur 55 tahun. Sekarang nak naikkan ke umur 60 tahun pula. Lebih baik kerja terus selagi tangan boleh pegang pen dan mata masih boleh membaca.

Lagi satu, nak kerja kerajaan ni pun mesti ada kabel besar. Kalau boleh pakailah kabel fiber optik. Maksudnya, guna orang dalam untuk dapatkan kerja. Sebaik-baiknya kalau ada sudara-mara yang kerja di tempat tu atau kita ni saudara menteri. Akhirnya orang yang gred rendah dapat kerja, yang gred tinggi terpaksa menganggur.

Sekarang ni universiti dan makin berlambak-lambak. Dulu ada 9 IPTA. Sekarang ni entah ada berapa banyak. Ini pun ada yang dalam proses pembangunan. Semakin ramai graduan yang dihasilkan tetapi makin sempit pula peluang kerja. Yang dah berpuluh tahun kerja dalam jabatan kerajaan tu, berilah peluang pada anak-anak anda yang baru mula nak merasa suasana kerja. Mungkin mereka boleh buat kerja lebih baik dari anda semua. Fikirkanlah...

Tamat...

Read more...

Rabu, September 26, 2007

Aku & kerja... Part 2

sambungan…

Lepas berhenti kerja, aku menganggur lagi. Hidup jadi makin susah. Mak bapak aku pun marah dan membebel macam-macam. Tak fikir masa depanlah, pemalaslah, itulah, inilah, macam-macam lagi. Aku usaha cari kerja tapi tak juga berhasil.

Akhirnya aku minta kerja jadi pengawal keselamatan lagi di sebuah syarikat lain. Pada hari aku minta kerja, kebetulan syarikat tu nak pakai pekerja sebab dapat assignment tempat baru di sebuah kompleks pejabat. Aku pun mula bertugas malam tu juga.

Pada hari pertama, aku belajar cara nak bertugas di situ. Hari ke-2, aku dilantik jadi Ketua Pengawal tapi aku tolak. Tapi mungkin bos nampak potensi kerja aku, dia suruh juga aku terima jawatan tu. Akhirnya aku cuma minta jawatan sebagai Penolong Ketua Pengawal.

Aku rasa serasi bertugas di situ. Kerja aku memang cemerlang hinggakan aku dapat kawal pekerja lain agar mengikut arahan dan lebih berdisiplin. Bos memang respek pada aku tapi selalu juga terfikir, sampai bila aku nak jadi pengawal keselamatan? Kerja ni bukanlah hina tapi selalu dipandang rendah oleh masyarakat. Pengawal keselamatan dianggap seperti pekerja taraf rendah. Gaji pun rendah sedangkan bekerja 12 jam tanpa henti dan berhadapan dengan risiko.

Masuk hari ke-23 aku bertugas di situ, aku rasa sedih sangat bila terfikir nasib diri. Kawan-kawan aku yang lain semua dapat kerja bagus dan dah kahwin. Sedangkan aku masih merempat mencari kerja demi nak menyara mak bapak aku. Aku kurang makan sebab nak berjimat. Pendatang asing pun dapat kerja gaji mahal, kerja 8 jam, makan cukup.

Aku berkira-kira nak cari kerja di kampung sebab nak jaga mak bapak aku. Entah kenapa aku terfikir macam tu. Kuat sangat desakan hati aku tapi aku tak tahu nak kerja apa di kampung nanti. Saudara mara aku pun pasti akan pandang hina pada aku kalau aku tak kerja yang bagus-bagus. Aku pun hairan dengan sikap diorang ni. Bila aku kerja bagus, diorang macam tak suka aku lebih daripada diorang. Tapi bila aku susah, sukalah mereka. Aku tak sanggup nak balik kampung kalau tak ada kerja.

bersambung lagi...

Read more...

Selasa, September 25, 2007

Aku & kerja... Part 1

Sedih rasanya bila fikirkan pasal kerja. Dah merata tempat yang aku pergi tapi tak dapat-dapat juga kerja yang aku nak. Dah berpuluh-puluh borang aku isi, dah banyak kali ujian KPLI yang aku pergi, tambah lagi entah berapa banyak kerja yang aku mohon dalam internet. Duit dah banyak habis, masa pun dah banyak terbuang. Sementara nak dapat kerja yang dihajati, terpaksalah aku kerja dulu apa yang boleh. Kalau tak ada kerja langsung, tak makan la aku...

Dah macam-macam kerja yang aku buat. Aku pernah kerja kerani di syarikat kontraktor kelas C. Bos tu abang sepupu aku. Pengurusan entah apa-apa. Duit syarikat keluar masuk poket bos. Lepas tu beli kereta mewah sedangkan dia dah ada 3 kereta yang lain. Akhir sekali gaji pekerja pulak yang tak tersangkut-sangkut. Aku pun berhenti secara hormat dan cari kerja lain. Sekarang ni aku tengok dia pakai Toyota Harrier dan Mercedes. Harap-harap pandailah dia jaga duit syarikat.

Aku pun kerja kilang di selatan. Kilang elektronik buat printer dan scanner HP. Gaji ok tapi kerja 12 jam dan langsung tak dapat duduk. Rehat 1 jam, nak pergi solat pun tak sempat. Bila nak solat, line leader bagi masa 10 minit je. Padahal surau tu di tingkat bawah. Nak ke sana, dah habis 8 minit. Solat lebih kurang 7 minit. Jalan balik pulak 8 minit. Mampus kena marah dek si line leader tomboy tu. Kalau marah je, tak apa la juga. Ini sekali dengan sumpah seranah dan maki hamun. Penat tak menjadi hal bagi aku. Kerja pun tak terasa tensen sangat sebab ramai awek-awek cun yang ramah-tamah yang kerja di situ. Tapi yang membuatkan aku berhenti kerja sebulan lepas tu sebab di kilang ni line leader dan penyelia suka maki hamun. Memang amalan diorang sejak dulu lagi. Pengajaran yang aku dapat : JANGAN BELI PRINTER DAN SCANNER HP SEBAB PEMBUATANNYA TAK BERKUALITI!

Lepas tu aku kerja jadi pengawal keselamatan bagi memudahkan aku mencari kerja dan menghadiri temuduga, jika ada. Nasib baik juga tempat yang aku kena jaga ni premis kosong. Aku sorang je yang jaga 24 jam. Duduk goyang kaki je. Tapi aku tetap berkawal dan jaga keselamatan sebab mungkin aku ni jenis bertanggungjawab. Yelah, kalau terjadi apa-apa di situ, siapa yang nak jawab? Gaji pun ok tapi tak ada KWSP dan Perkeso. Dekat setahun juga aku kerja ni sehinggalah aku dapat tawaran kerja bank dengan status kontrak.

Bila kerja bank, gaji ok dan suasana pun ok. Pakai smart sikit, siap dengan tali leher. Kadang-kadang ada juga rasa macam tak serasi kerja ni tapi aku bertahan juga sebab banyak juga gaji yang aku dapat. Lama kerja bertaraf kontrak dan ada juga ura-ura nak diserapkan ke jawatan tetap tapi bila pengurusan bertukar, kontrak aku pun ditamatkan.

Aku ke KL lagi dan 2 bulan menganggur sambil mencari kerja. Masa tu aku rasa tanggungjawab aku makin besar. Maklumlah, umur dah meningkat. Mak bapak perlu diberi nafkah, dan aku pun nak kawin. 2 bulan cari kerja tapi langsung tak dapat. Ada tempat yang nak pekerja yang boleh berbahasa Cina atau Tamil, tempat yang guna bahasa Inggeris pula ada keperluan lain, dan macam-macam lagilah. Akhirnya aku cari kerja pengawal keselamatan sekali lagi.

Aku pun kerjalah dengan sebuah syarikat kawalan keselamatan ni. Jadi pengawal biasa je. Gaji pun RM800. Kebanyakan pekerja di situ satu egeri dengan aku. Dengar cerita bos pun sama. Sekapal rupanya... Pada satu hari tu Pengarah Urusan ke tempat aku berkawal tu dan tiba-tiba dia kenal aku. Ooo, baru aku tahu. Dia tu sedara-mara bapak aku.

Disebabkan aku ada ijazah dan kerja aku pun bagus. Tambah pula aku berkemampuan menguruskan cawangan daerah tu, bos pun cepat naikkan pangkat aku dari pengawal keselamatan biasa jadi ketua pengawal. Lepas tu bos janji nak jadikan aku sebagai pegawai operasi dan akhir sekali jadi pengurus cawangan di Utara dalam masa terdekat. Tapi yang membuatkan aku berhenti adalah disebabkan sikap pemandu dan pegawai operasi di situ yang mungkin tak puas hati dengan aku yang cepat nak dinaikkan pangkat. Diorang kucar-kacirkan jadual tugas pengawal keselamatan masa aku cuti 3 hari, balik kampung. Bila aku masuk tugas semula, semuanya jadi tunggang-terbalik. Pengawal pun ramai yang mengadu pada aku. Gaji aku pula dipegang oleh pegawai operasi tu untuk ugut aku supaya kerja di satu pos yang memang teruk tempatnya. Disebabkan pangkat dia lebih tinggi dari aku, aku pun setuju ditukarkan. 2 hari dia pegang gaji aku. Pada malam kedua lepas dia serahkan gaji aku, aku pun kemas barang dan cabut lari pagi esoknya. Lepas tu dia kena menjawab depan bos terutamanya selepas aku beritahu bos perkara sebenarnya.

Bersambung...

Read more...

Utusan Malaysia : Fikirkanlah...

BPR tahan pegawai polis milik harta RM9 juta

Oleh Ruhaidini Abd Kadir

KUALA LUMPUR 24 Sept. – Seorang pegawai kanan polis berpangkat supritendan yang sebelum ini disiasat kerana disyaki mengumpul harta bernilai RM9 juta secara haram sejak beberapa tahun lalu ditahan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini.

Pegawai berkenaan yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman ditangkap di Putrajaya dekat sini pukul 10.30 pagi ini.

Suspek yang berusia lewat 40-an dan telah berkhidmat selama 20 tahun dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan didakwa di mahkamah esok.

Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan ketika dihubungi mengesahkan penangkapan itu tetapi enggan mengulas.

Utusan Malaysia difahamkan, pegawai terbabit yang dipercayai mengumpul kekayaan secara haram ketika bertugas di Pahang dan Johor memiliki beberapa buah rumah dan lot tanah yang sebahagian besar terletak di Lembah Klang.

Pegawai terbabit yang pernah bertugas di Cawangan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) di Johor juga didakwa terlibat dalam beberapa kes penggubahan wang haram di Johor.

Sebelum ini, suspek telah dipanggil BPR untuk mengisytiharkan hartanya mengikut Seksyen 32 Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Suspek telah mengisytiharkan hartanya kepada Timbalan Pendakwa Raya di Putrajaya seperti yang diarahkan sebelum ini dan hasil siasatan mendapati harta-harta itu diperoleh melalui amalan salah guna kuasa.

Siasatan itu menjadikan sekurangkurangnya dua pegawai kanan Polis Bukit Aman sedang disiasat oleh BPR berhubung pemilikan harta melebihi tahap kemampuan sebagai penjawat awam, selain dakwaan rasuah dan salah guna kuasa.

Seorang lagi ialah pegawai kanan berusia 50-an dikaitkan dengan pemilikan harta RM27 juta. Dia juga telah dipanggil oleh BPR untuk mengisytiharkan hartanya.

Pegawai kanan terbabit dikatakan memiliki sejumlah besar saham dalam sebuah syarikat perladangan di Lahad Datu, Sabah.

Read more...

Isnin, September 24, 2007

Read more...

Ahad, September 23, 2007

Penyakit Hari Perayaan : Naik Harga Barang

Hari ni hari ke-12 umat Islam di Malaysia berpuasa. Tak banyak yang berlaku kecuali kita telah digemparkan dengan berita penemuan mayat kanak-kanak di Petaling Utama yang kemudiannya disahkan sebagai Nurin Jazlin yang telah hilang sebulan sebelumnya. Kemarahan rakyat Malaysia masih membara dan sama-samalah kita berdoa agar pembunuh kejam itu segera ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.

Setiap kali musim perayaan, negara kita dilanda penyakit berjangkit yang amat membimbangkan. Seluruh rakyat terjejas akibatnya. Bila tibanya musim perayaan, kita dah mula risau. Bimbang penyakit tersebut menyerang dan menjadi lebih teruk dari sebelumnya.

Penyakit apa lagi jika bukan kenaikan harga barang. Masuk aje musim perayaan, semua naik harga. Ayam, daging, sayur, buah, minyak masak, beras pulut dan macam-macam lagi semuanya naik harga. Alasannya memang kita dah boleh jangkakan. Apa lagi kalau bukan peningkatan kos pengeluaran menyebabkan pengeluar mengurangkan penawaran. Sedangkan barangan tersebut masih banyak dalam gudang. Maklumlah bila musim perayaan permintaan akan meningkat dan pengguna biasanya nak guna produk tu dengan banyak.

Perniagaan di Malaysia sekarang ini diibaratkan sebagai sistem kapitalis. Mempergunakan keperluan manusia untuk meletakkan harga yang memberikan untung besar kepada pengeluar. Harga meningkat setiap masa. Jika ada 5 perayaan, 5 kali jugalah harga barang akan naik. 5 kali jugalah kerajaan akan pening kepala dengan kerenah pengeluar dan pemborong.

Pengguna yang bergaji besar tentulah tak terasa sangat. Tapi bagaimana pula dengan yang bergaji rendah terutamanya pekerja rendah swasta? Dengan gaji antara RM600.00 ke RM1,000.00 pada zaman sekarang ni memang tak cukup untuk berbelanja dalam sebulan, lebih-lebih lagi bagi yang berkeluarga. Lainlah halnya dengan kakitangan awam yang dah banyak terima kenaikan gaji, tambahan pula banyak kemudahan yang boleh mereka nikmati terutamanya pinjaman kewangan untuk membeli kereta dan rumah.

Kadangkala peniaga tak harus dipersalahkan kerana mereka perlu mencari sedikit untung untuk bayar sewa premis dan menyara keluarga. Nampaknya pengeluar dan pemborong terlibat secara langsung dengan kes ini di mana mereka 'mencipta keadaan sukar' yang mereka alami. Makanan haiwan naik harga, baja sayur pun naik harga, dan entah apa lagi yang naik harga. Maka untuk mengatasi masalah mereka ini, terpaksalah mereka naikkan harga barangan mereka.

Pihak KPDNHEP pun sebenarnya dah habis ikhtiar nak menangani masalah ni. Bila timbul masalah ni, mereka buat operasi. turun padang untuk meninjau peniaga dan kenakan kompaun pada yang menaikkan harga sesuka hati. Tapi yang dikompaunnya adalah peniaga, manakala pengeluar dan pemborong yang menjadi punca penyakit ini tidak diambil tindakan.

Penyelesaian mudah yang perlu dilakukan oleh kerajaan adalah membenarkan import barangan pengguna seperti ayam, daging, gula, dan lain-lain yang berkaitan. Ini kerana produk luar kadangkala lebih berkualiti dan murah berbanding produk kita yang cuma ala kadar disebabkan pengeluar nak untung banyak. Bila dah ramai yang berniaga barang yang sama dan penawaran pun meningkat, harga pun akan jatuh. Pengguna akan dapat kembali kuasa beli mereka.

Entah bila masalah ni akan selesai tapi sama-samalah kita gunakan kuasa kita sebagai pengguna untuk mengatasi kenaikan harga barang. Gunakan barangan pengganti. Kalau tak dapat buat rendang ayam, kita buat la rendang puyuh pulak... Gerenti sedap!

Read more...

Sabtu, September 22, 2007

Al-Fatihah Untuk Adik Nurin Jazlin


Seluruh masyarakat masih merasa pilu dan sedih dengan pemergian Adik Nurin Jazlin dalam keadaan yang amat menyayat hati. Betapa berita kehilangannya pada 20 Ogos 2007 yang lepas masih lagi terasa. Kini kepulangan yang di nanti tidaklah seperti yang diharapkan.

Seluruh masyarakat berasa marah dan geram dengan kejadian ini. Betapa sadis dan kejamnya manusia kini. Sanggup memperlakukan seorang kanak-kanak yang tidak berdosa sebegitu rupa. Demi untuk memuaskan nafsu serakahnya, dia sanggup menyeksa seorang kanak-kanak tanpa belas kasihan. Moga pembunuh kejam itu akan menerima pembalasannya...

Sedang keluarga Adik Nurin Jazlin masih meratapi pemergiannya, ada pula ura-ura oleh pihak berkuasa untuk mendakwa ibu bapa kanak-kanak tersebut ke muka pengadilan kerana kecuaian dalam mengawasi anak-anak. Pembunuh pun belum dikesan, ibu bapa pula yang akan dikenakan tindakan.

Tidak wajar untuk kita mendakwa ibu bapa Nurin Jazlin sebegitu rupa. Jika ia bertujuan untuk memberi pengajaran atau contoh kepada masyarakat, kematian Nurin Jazlin sememangnya telah berbekas begitu dalam dalam hati masyarakat kita yang penyayang ini. Janganlah jadikan sedikit kesilapan sebagai alasan untuk memanjangkan kes ini terhadap ibu bapa Nurin Jazlin.

Kita perlu fikirkan mengapa ini semua terjadi. Kes sebegini sering terjadi dan belum bertemu jalan penyudahnya. Tindakan penguatkuasaan juga seolah-olah terhenti bila jejak yang dicari hilang di pertengahan jalan. Kini timbul pula kes baru dan PDRM perlu bekerja keras untuk mengembalikan keamanan kepada masyarakat.

Sememangnya masa tidak boleh diundur. Apa yang terjadi, sudah pun berlaku. Kita yang hidup ini, teruskanlah kehidupan dengan penuh kekuatan. Jadikan kisah sedih ini sebagai satu pengajaran serta berikan kasih-sayang dan perhatian sepenuhnya kepada insan yang kita sayangi.

Bersama-samalah kita bermohon ke hadrat Allah s.w.t agar penjenayah kejam itu akan tertangkap jua dan dihukum dengan seberat-beratnya. Sedekahkan Al-Fatihah dan bacaan Surah Yasin kepada arwah Adik Nurin Jazlin.

Takziah kepada seluruh keluarga Adik Nurin Jazlin Jazimin. Moga anda sekeluarga diberikan kekuatan untuk menempuhi hari-hari yang mendatang.

Al-Fatihah...

Read more...

Followers

Technorati

Add to Technorati Favorites

  ©Template by Dicas Blogger.