Kilang diarah tutup simpan daging babi bersama makanan lain
Utusan Malaysia - Selasa 29 Januari 2008
KEPALA BATAS 28 Jan. - Sebuah kilang membuat bebola ikan diarahkan tutup 14 hari selepas didapati tidak mengikut tahap kebersihan disyorkan Kementerian Kesihatan dalam penyediaan produknya.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kilang itu juga menyimpan daging babi dengan produk-produk siap di dalam peti sejuk besar untuk dipasarkan kepada pembeli yang kebanyakannya merupakan peniaga pasar malam.
Ketua Unit Inspektoriat dan Perundangan kementerian itu, Idris Mohammad berkata, selain penyimpanan bahan mentah dan produk siap, cara penyediaan juga didapati tidak mengikut peraturan.
"Kita dapati cara penyimpanan, penyediaan, perlindungan makanan tidak mengikut peraturan Kementerian Kesihatan.
"Pihak kilang turut simpan daging mentah dan produk siap dalam tempat yang sama dan boleh mengakibatkan pencemaran," katanya kepada pemberita yang mengikuti serbuan tersebut di sini hari ini.
Kata Idris, selepas ditanya mengenai jenis daging yang disimpan bersama produk-produk yang siap untuk dipasarkan itu, pihak kilang memaklumkan kepadanya bahawa ia adalah daging babi.
Menurutnya, pemilik kilang ketika ditanya bagaimanapun menafikan daging babi itu untuk dijual atau digunakan dalam penghasilan produk makanan mereka sebaliknya menyatakan ia adalah makanan untuk pekerja.
"Selain bebola ikan, kilang itu juga turut mengeluarkan kuih ikan dan bebola daging," katanya.
Tambahnya, kilang itu pernah diserbu pada tahun lalu dan pernah diarahkan supaya ditutup selama 14 hari atas kesalahan yang hampir sama.
Selain itu, katanya, dalam pemeriksaan yang dijalankan oleh 20 orang pegawai dan anggota dari Jabatan Kesihatan Negeri dan Seberang Perai Utara (SPU) hampir semua peralatan digunakan tidak bersih, dihurungi lalat dan sebagainya.
Menurut beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 13B Akta Makanan 1983 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum lapan tahun.
Sejumlah RM300,000 produk makanan termasuk minyak yang digunakan dirampas bagi tujuan ujian makmal.
Terdahulu, pasukan yang sama turut mengadakan serbuan dan pemeriksaan di tiga pasar iaitu Pasar Kampung Baru, Pasar Taman Kota Permai dan Pasar Permatang Tinggi di Bukit Mertajam di sini.
Dalam operasi tersebut, beberapa bungkus makanan seperti mee kuning, kuetiau, laksa dan beberapa produk lain dirampas oleh Jabatan Kesihatan.
Jelas Idris, barangan yang dirampas itu mempunyai alamat pengeluar yang palsu dan mengandungi bahan yang terlarang iaitu asid benzoik.
Ujarnya, kesemua sampel tersebut akan dibawa balik ke makmal untuk diuji dan jika didapati mengandungi bahan terlarang tersebut, penjual boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 13B 2(f) Akta Makanan 1983.
Read more...