Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK)
SKMK amat dikenali di Kelantan. Manakan tidak, ianya satu-satunya bas awam di Kelantan. Ia boleh diibaratkan sebagai monopoli pengangkutan awam sejak bertahun-tahun dulu melebihi 20 tahun.
Kedudukan SKMK yang kini di bawah Konsortium Transnasional Berhad (KTB) sebagai satu-satunya bas awam di Kelantan tidaklah membuatkan mereka bermotivasi tinggi. Ini dapat dilihat dari tahap perkhidmatan mereka yang teruk dan amat mengecewakan.
Bagitu ramai pengguna yang merungut akibat sering terpaksa menanti bas sehingga lebih 2 jam malah saya sendiri pernah menunggu bas tersebut di stesen sehingga 3 jam. Mustahillah bas tidak boleh sampai dalam masa tersebut kerana jadual perjalanannya telahpun diatur.
Kegagalan penyelia kawasan untuk memantau jadual perjalanan bas dari stesen masing-masing amatlah mengecewakan. Apabila pengguna yang sudah terlalu lama menunggu bas bertanya kepada mereka, mereka tidak dapat memberikan sebarang jawapan dan hanya minta pengguna bersabar dan terus menunggu.
Kadangkala para pemandu bas sendiri enggan mengikut jadual yang telah ditetapkan kerana masih ingin berehat dan tidur lebih lama. Saya pernah mengalami sendiri keadaan ini di mana perjalanan tertangguh hampir satu jam kerana pemandu masih ingin berehat.
Kita pernah mendengar para pemandu SKMK ini melancarkan mogok sehinggakan tiada bas yang membuat perjalanan akibat tidak mendapat bonus hari raya pada tahun lepas. Para pengguna yang mengetahui berita ini bukanlah semakin kasihan pada pemandu bas ini tetapi mempersoalkan tindakan mereka. "Kerja main-main tapi nak duit lebih".
Ada juga salah laku yang dibuat oleh pemandu bas ini terutamanya ketika lewat petang. Para penumpang yang menaiki bas mereka tentulah membayar wang tambang tetapi pemandu bas ini tidak langsung memberikan tiket. Ini kerana tiada pegawai yang akan memeriksa tiket pada waktu itu.
Walaupun 'penyelewengan' yang mereka lakukan tidaklah membuahkan hasil yang banyak tetapi jika sering dilakukan tentulah mereka dapat 'menggelapkan' wang tambang lebih dari RM300.00 sebulan. Bukanlah semua pemandu bas yang melakukan sebegini tetapi tindakan pemandu yang tidak bertanggungjawab inilah yang akan membusukkan nama semua pemandu bas yang lain.
Harapan para pengguna bas SKMK (atau kini dipanggil CityLiner) agar pihak pengurusannya dapat menjaga dan menetapkan jadual perjalanan bas tersebut dengan sebaik-baiknya seperti yang telah dijanjikan. Jangan menjadikan alasan ia satu-satunya perkhidmatan bas awam di Kelantan sebagai satu sebab agar pengguna bersabar tanpa sebarang tindakan yang sepatutnya.
Rakyat Kelantan terkenal sebagai rakyat yang suka berusaha mencari rezeki dan rajin bekerja. Ini boleh dilihat dari semangat perniagaan mereka terutamanya bila dilihat di Pasar Siti Khadijah. Tapi janganlah sampai orang ramai beranggapan bahawa contoh orang Kelantan yang malas bekerja boleh dilihat di SKMK.
Mampukah SKMK berubah?