Rabu, Januari 30, 2008

Pewarna pakaian bancuh belacan

Metro - Rabu 30 Januari 2008

Oleh Norfaisal Jahuri

am@hmetro.com.my

MELAKA: Sebuah kilang memproses belacan terkenal di negeri ini dipercayai menggunakan pewarna yang hanya digunakan untuk mewarna pakaian supaya belacan dan cencaluk keluaran syarikatnya kelihatan menarik.

Tindakan kilang di Batu Berendam itu menggunakan pewarna pakaian terbongkar selepas diserbu Bahagian Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), semalam.

Mulanya, serbuan itu hanya membabitkan penggunaan logo halal secara haram.

Bagaimanapun, selepas disiasat pada satu bahagian dalam kilang itu, pihak berkuasa menemui tempat mengadun bahan membuat belacan yang mempunyai campuran bersama kiub berwarna merah jambu.

Pemeriksaan lanjut mendapati kiub itu tertera perkataan ‘bahan pewarna bukan untuk mewarnakan makanan’ serta terdapat beberapa kotak besar berisi ratusan pewarna dalam kiub bersaiz 8 x 6 sentimeter bersebelahan dengan tempat mengadun belacan itu.

Hasil penemuan mengejutkan itu, pihak Jabatan Kesihatan Negeri Melaka dihubungi bagi menjalankan siasatan.

Wakil Jabatan Kesihatan yang ditemui bagaimanapun enggan mengulas mengenai penemuan pewarna berkenaan.

Pegawai serta anggota jabatan terbabit dilihat mengambil beberapa sampel daripada belacan dan cencaluk keluaran syarikat berkenaan untuk dianalisis.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan Jaim, Shafiee Abd Wahab, berkata pemeriksaan terhadap lebih enam sampel produk yang dikeluarkan syarikat terbabit didapati menggunakan logo halal Jakim secara haram.

Katanya, antara bahan makanan yang dirampas ialah pelbagai jenis belacan, cencaluk, sotong jeruk dan dodol durian.

“Sejumlah 500 jenis sampel yang bernilai lebih RM1,000 dirampas KPDNHEP untuk siasatan lanjut.

“Mengikut rekod syarikat terbabit tidak pernah memohon untuk mendapatkan sijil halal Jakim atau Jaim,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.

Operasi bersepadu itu bermula kira-kira jam 12 tengah hari disertai 15 pegawai serta anggota daripada agensi kerajaan terbabit.

Difahamkan, premis berkenaan pernah diserbu pada awal tahun lalu kerana kesalahan sama menggunakan logo halal secara haram.

Shafiee berkata, kes itu diserahkan kepada KPDNHEP untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 18 (1) Akta Perihal Dagangan 1972 kerana menggunakan logo halal secara haram.

“Sabit kesalahan boleh didenda RM100,000 atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya

Dalam pada itu, tinjauan Harian Metro yang menyertai serbuan itu mendapati bahan mentah untuk membuat belacan dan cencaluk diadun di atas lantai sebelum mesin digunakan.

Bahan mentah belacan dan cencalok itu disimpan dalam guni yang dimasukkan di peti ais besar bersama ayam serta bahan lain yang meragukan.

0 comments:

Followers

Technorati

Add to Technorati Favorites

  ©Template by Dicas Blogger.