Rabu, Januari 30, 2008

Rangsangan ‘kopi maut’

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

anbia@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Penggemar minuman kopi segera dinasihat berwaspada berikutan kemunculan ‘kopi maut’ yang sengaja dicampurkan bahan kimia berbahaya, sintetik sildenafil nitrat, yang boleh menyebabkan mereka mati mengejut selepas meminumnya.

Kopi campuran berkenaan kononnya diadun dengan herba asli seperti gingko biloba, ginseng dan pelbagai herba lain, walhal ia sebenarnya hanya gimik untuk meyakinkan pengguna ia mampu merangsang nafsu seks.

Kewujudan kopi terbabit disedari Bahagian Penguat Kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan selepas menerima aduan orang ramai berhubung kesan negatif mengambil minuman itu.

Susulan maklumat diterima, pegawai penguat kuasa farmasi menjalankan risikan bagi mengesan pengedar kopi dalam peket yang diedarkan melalui jualan langsung itu.

Penguat kuasa mengesan pejabat pengedar serbuk kopi terbabit di Metro Prima Puchong, dekat sini, sebelum berpura-pura ingin menjadi ejen syarikat itu.

Bagaimanapun, eksekutif syarikat jualan langsung itu menetapkan syarat supaya pegawai farmasi yang menyamar itu tidak menjualnya di restoran mamak berikutan hak penjualan kepada kedai makanan dimonopoli mereka.

Jurucakap Bahagian Penguat Kuasa Farmasi berkata, pegawai yang menyamar itu ditawarkan kopi berkenaan pada harga RM4 sepeket sebelum dijual di pasaran pada harga RM5 sepeket.

Menurutnya, pegawai itu membeli kopi terbabit sebelum menghantar sampel ke makmal dan disahkan mengandungi racun berjadual sindenafil nitrat yang turut digunakan untuk menghasilkan pil Viagra.

“Berdasarkan bukti diperoleh, sepasukan pegawai penguat kuasa farmasi menyerbu syarikat itu jam 11 pagi, semalam.

“Kehadiran pegawai farmasi memeranjatkan lima pekerja syarikat jualan langsung terbabit yang diserbu sebaik memulakan operasi awal pagi semalam,” katanya.

Hasil pemeriksaan, pegawai farmasi menemui 3,391 peket kopi berkenaan yang disimpan di stor syarikat terbabit.

“Siasatan mendapati pihak pengedar cuba memperdaya pengguna dengan meletakkan logo halal dan label Amalan Pengilangan Baik (GMP) pada peket kopi dijual.

“Selain itu, setiap peket kopi seberat 25 gram turut menggunakan motto ‘kuat, tahan dan sihat’ bagi menunjukkan seolah-olah ia produk makanan kesihatan,” katanya.

Sementara itu, seorang eksekutif syarikat jualan langsung terbabit berusia 20-an memberi alasan tidak mengetahui kopi terbabit berbahaya berikutan pembekalnya mendakwa ia dihasilkan daripada kopi terpilih dan herba tempatan.

Lelaki itu memberitahu, kopi terbabit yang dibekalkan sebuah syarikat di Cheras di sini, mendapat permintaan menggalakkan daripada pengusaha kedai mamak dan restoran sejak mula dipasarkan setahun lalu.

“Lelaki itu memberitahu baru sebulan menerima stok kopi terbabit daripada pengedar, namun kami percaya ia sudah lebih setahun diedarkan kepada orang ramai,” katanya.

Menurutnya, apa yang menakutkan pengguna yang mengambil kopi yang dicampur sebatian sildenafil menghadapi risiko maut.

“Ia amat berbahaya, terutama kepada mereka yang menghidapi darah tinggi, sakit jantung dan kandungan lemak tinggi dalam badan. Produk mengandungi kimia itu sangat berbahaya kerana tekanan darah boleh menjadi terlalu rendah.

“Selain itu, boleh mendatangkan kesan sampingan seperti sakit kepala, gangguan perut dan penglihatan serta sakit otot. Malah, ia mampu merebak kepada penyakit hati dan buta,” katanya.

Menurutnya, penjual atau pengedar produk seperti itu boleh didakwa mengikut Akta Jualan Dadah Pindaan 2000.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak kurang RM5,000 atau dua tahun penjara mengikut Akta Racun 1957 dan denda antara RM25,000 hingga RM50,000 serta dua tahun penjara.

0 comments:

Followers

Technorati

Add to Technorati Favorites

  ©Template by Dicas Blogger.