Ahad, Januari 27, 2008

Galakan Perniagaan Dan Masalah Peluang Kerja

Perniagaan adalah satu cadangan yang baik terhadap lepasan universiti. Tetapi tahukah anda bahawa terlalu ramai yang sebenarnya tidak boleh mengambil pinjaman perniagaan kerana rekod buruk dalam pembayaran balik pinjaman pendidikan. Ini disebabkan mereka tidak mendapat kerja yang baik selepas tamat pengajian sehinggakan tidak mampu menjelaskan hutang piutang mereka.

Seramai manakah antara yang berjaya membuka perniagaan dengan bantuan kerajaan ini dapat meneruskan perniagaan mereka dengan baik? Memang ada yang berjaya dan menjadi kaya, syabas kepada ketabahan dan keberanian mereka menanggung kesukaran. Paling ramai yang merungut kerana bantuan khidmat nasihat dan pemasaran yang diterima hanyalah pada peringkat awal sedangkan yang dijanjikan adalah sehingga perniagaan berjalan lancar. Jika namanya pekerja kerajaan, lebih sedap goyang kaki dari bersusah payah membantu orang lain memajukan perniagaan.


Berapa ramai graduan yang terpaksa bekerja dengan gaji kurang dari RM 800.00 di bandar besar? Malah ada yang terpaksa bekerja 12 jam sehari untuk mendapatkan wang sebanyak itu. Sedangkan desakan hidup di bandar besar memerlukan lebih dari RM 1,000.00 sebulan untuk hidup. Oleh sebab itulah ada antara mereka yang terpaksa mengikat perut demi untuk membayar sewa rumah dan tambang pengangkutan awam. Yang tinggal hanyalah sedikit perbelanjaan untuk makanan yang tidak seberapa.


Berapa ramai lepasan universiti yang terpaksa bekerja sebagai pengawal keselamatan, operator pengeluaran, pam minyak, pembantu kedai dan lain-lain kerja yang boleh dibuat oleh orang yang berkelulusan di bawah SRP / PMR? Seronokkah kita melihat mereka dipandang rendah oleh orang lain kerana hanya itu yang mereka dapat walaupun berhabisan beribu ringgit belajar di universiti?


Para
pemimpin tidak melihat kepada masalah ini kerana mereka begitu selesa dengan kerusi kulit yang empuk di pejabat mereka. Pulang ke rumah disambut dengan perabot mewah yang diimport. Setiap masa dibelai penghawa dingin sama ada di pejabat, di rumah, dalam kereta dan juga di tempat makan di luar rumah. Apa yang mereka nampak hanyalah golongan mereka yang sentiasa ada di sekitar kehidupan mereka. Ajaibnya, pilihanraya boleh membuatkan golongan hipokrit ini rela mengotorkan kasut mahal meraka di kampung-kampung yang kotor dan becak.

“Kami bukan along, kami cuma nak tolong” hanya akan jadi ayat komersil dalam iklan sahaja jika kerajaan dan pihak yang bertanggungjawab gagal memahami masalah rakyat. Akhirnya “kami terpaksa cari along, sebab kerajaan tak tolong”.

0 comments:

Followers

Technorati

Add to Technorati Favorites

  ©Template by Dicas Blogger.