Sabtu, September 22, 2007

Al-Fatihah Untuk Adik Nurin Jazlin


Seluruh masyarakat masih merasa pilu dan sedih dengan pemergian Adik Nurin Jazlin dalam keadaan yang amat menyayat hati. Betapa berita kehilangannya pada 20 Ogos 2007 yang lepas masih lagi terasa. Kini kepulangan yang di nanti tidaklah seperti yang diharapkan.

Seluruh masyarakat berasa marah dan geram dengan kejadian ini. Betapa sadis dan kejamnya manusia kini. Sanggup memperlakukan seorang kanak-kanak yang tidak berdosa sebegitu rupa. Demi untuk memuaskan nafsu serakahnya, dia sanggup menyeksa seorang kanak-kanak tanpa belas kasihan. Moga pembunuh kejam itu akan menerima pembalasannya...

Sedang keluarga Adik Nurin Jazlin masih meratapi pemergiannya, ada pula ura-ura oleh pihak berkuasa untuk mendakwa ibu bapa kanak-kanak tersebut ke muka pengadilan kerana kecuaian dalam mengawasi anak-anak. Pembunuh pun belum dikesan, ibu bapa pula yang akan dikenakan tindakan.

Tidak wajar untuk kita mendakwa ibu bapa Nurin Jazlin sebegitu rupa. Jika ia bertujuan untuk memberi pengajaran atau contoh kepada masyarakat, kematian Nurin Jazlin sememangnya telah berbekas begitu dalam dalam hati masyarakat kita yang penyayang ini. Janganlah jadikan sedikit kesilapan sebagai alasan untuk memanjangkan kes ini terhadap ibu bapa Nurin Jazlin.

Kita perlu fikirkan mengapa ini semua terjadi. Kes sebegini sering terjadi dan belum bertemu jalan penyudahnya. Tindakan penguatkuasaan juga seolah-olah terhenti bila jejak yang dicari hilang di pertengahan jalan. Kini timbul pula kes baru dan PDRM perlu bekerja keras untuk mengembalikan keamanan kepada masyarakat.

Sememangnya masa tidak boleh diundur. Apa yang terjadi, sudah pun berlaku. Kita yang hidup ini, teruskanlah kehidupan dengan penuh kekuatan. Jadikan kisah sedih ini sebagai satu pengajaran serta berikan kasih-sayang dan perhatian sepenuhnya kepada insan yang kita sayangi.

Bersama-samalah kita bermohon ke hadrat Allah s.w.t agar penjenayah kejam itu akan tertangkap jua dan dihukum dengan seberat-beratnya. Sedekahkan Al-Fatihah dan bacaan Surah Yasin kepada arwah Adik Nurin Jazlin.

Takziah kepada seluruh keluarga Adik Nurin Jazlin Jazimin. Moga anda sekeluarga diberikan kekuatan untuk menempuhi hari-hari yang mendatang.

Al-Fatihah...

Followers

Technorati

Add to Technorati Favorites

  ©Template by Dicas Blogger.