Khamis, September 27, 2007

Utusan Malaysia 26.09.2007

Supritendan polis didakwa terima wang haram RM1.2 juta

Oleh HASNURUL MOHAMED


Azmi Osman.

JOHOR BAHRU 25 Sept. – Seorang pegawai kanan polis berpangkat supritendan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1.263 juta.

Tertuduh, Azmi Osman, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan berasingan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zanol Rashid Hussain.

Dia hadir di mahkamah dengan ditemani peguam bela, N. Sridharan.

Tertuduh ditahan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya, semalam.

Dalam pertuduhan pertama, Azmi didakwa pada 19 Ogos 2003 di Malayan Banking Berhad di Lot M1022, Level 3, Johor Bahru City Square, Jalan Wong Ah Fook di sini melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima wang hasil daripada aktiviti haram sebanyak RM71,870.70 melalui akaun semasa Malayan Banking Berhad.

Dalam pertuduhan kedua, tertuduh pada 13 Januari 2004 dan 17 November 2004 didakwa menerima wang hasil daripada aktiviti haram sebanyak RM941,930 di tempat yang sama menggunakan akaun semasa yang sama.

Dalam pertuduhan ketiga, pada 5 April 2005 dia didakwa di tempat yang sama, akaun semasa yang sama dan pertuduhan kesalahan yang serupa menerima wang hasil daripada aktiviti haram sebanyak RM250,000.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang pegawai kanan polis disiasat kerana disyaki mengumpul harta bernilai RM9 juta secara haram sejak beberapa tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Zulkifli Ahmad mencadangkan agar tertuduh ditawarkan jaminan RM200,000 atas kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin manakal dokumen perjalanan seperti pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah.

Pihak peguam bela mengemukakan 10 alasan ketika meminta wang jaminan itu dikurangkan kepada RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Antaranya ialah akaun dan harta tertuduh telah disita selain tertuduh sakit jantung.

Mahkamah bagaimanapun memutuskan ikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh membuat akujanji supaya menyerahkan dokumen perjalanan kepada pegawai BPR.

Mahkamah menetapkan 31 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, esok, tertuduh dijadualkan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Temerloh, Pahang, atas dua lagi pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram.

0 comments:

Followers

Technorati

Add to Technorati Favorites

  ©Template by Dicas Blogger.