Khamis, September 27, 2007

Utusan Malaysia

Supritendan polis dituduh lagi terima wang haram RM2.7 juta

Oleh Ali Mahmood


Azmi Osman.

TEMERLOH 26 Sept. – Azmi Osman, pegawai kanan polis berpangkat supritendan yang semalam didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini dihadapkan pula ke mahkamah di sini atas dua tuduhan berasingan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM2.732 juta.

Dengan tuduhan di Mahkamah Sesyen di sini pagi ini, jumlah wang daripada aktiviti haram yang didakwa diterimanya kini berjumlah RM3.995 juta.

Bagi tuduhan pertama di Mahkamah Sesyen Temerloh, Azmi, 52, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima wang hasil aktiviti haram sebanyak RM2,093,300 pada 6 Februari 2002 dan 20 Disember 2002 melalui akaun semasa Malayan Banking Berhad di No. 1, Jalan Haji Kassim, Mentakab dekat sini.

Dalam pertuduhan kedua, tertuduh pada 7 Januari 2003 didakwa menerima wang hasil aktiviti haram RM683,850 di tempat yang sama menggunakan akaun semasa yang sama.

Azmi bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ishak Bakri.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Azmi didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Jika disabitkan kesalahan, dia boleh didenda RM5 juta atau penjara tujuh tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Dzulkifli Ahmad mencadangkan mahkamah mengenakan wang ikat jamin RM200,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu dengan seorang penjamin dan dokumen perjalanan tertuduh seperti pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, N. Sridharan memohon supaya wang jaminan itu dikurangkan kepada RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan alasan akaun dan harta tertuduh telah disita selain tertuduh menghidap sakit jantung.

Hakim Ishak kemudian memutuskan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dalam kedua-dua pertuduhan itu dan mengarahkan Azmi menyerahkan dokumen perjalanannya kepada pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR).

BPR menahan Azmi di Putrajaya dua hari lalu.

Dzulkifli memohon kepada mahkamah supaya kedua-dua kes di Mahkamah Sesyen Temerloh itu dipindahkan untuk dibicarakan bersama tiga lagi pertuduhan mengikut seksyen yang sama dihadapi tertuduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 31 Oktober depan.

Mahkamah bersetuju dengan permintaan pendakwa raya itu dan mengarahkan supaya kedua-dua kes itu dibicarakan bersama tiga lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada tarikh yang telah ditetapkan.

Azmi yang ditahan oleh BPR di Putrajaya dua hari lalu telah pun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas tuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1.263 juta.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang pegawai kanan polis disiasat kerana disyaki mengumpul harta bernilai RM9 juta secara haram sejak beberapa tahun lalu.

Azmi pernah bertugas sebagai Ketua Balai Polis Maran dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh antara tahun 1997 dan awal Januari 1999.

Selepas itu, dia bertugas di Jabatan Turus D7-Maksiat dan Perjudian IPD Johor Bahru dari tahun 1999 hingga 2005 sebelum bertukar ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

0 comments:

Followers

Technorati

Add to Technorati Favorites

  ©Template by Dicas Blogger.