Ahad, Januari 27, 2008

Kerja...

Isu kerja menjadi antara salah satu masalah utama di Malaysia. Selain isu pengangguran di kalangan lepasan universiti, kebanjiran pendatang asing turut memberi masalah kepada golongan berpendidikan rendah untuk mendapatkan pekerjaan. Pelbagai pihak mengutarakan pandangan tetapi masalah menjadi kian meruncing malahan telah menyebabkan penyakit moral di kalangan rakyat Malaysia yang tidak bekerja untuk mendapatkan wang dengan cara haram sama ada merompak, menjual dadah dan bermacam-macam kegiatan haram lagi.

Para penjawat awam beria-ia meminta kerajaan untuk melanjutkan tempoh persaraan mereka serta memberikan bonus dan kenaikan gaji. Sedangkan perkhidmatan mereka kepada rakyat amatlah lemah. Semakin lama mereka selesa dengan kerusi mereka, semakin sering mereka goyang kaki dan curi tulang. Semakin lama berada di kaunter perkhidmatan, semakin teruk khidmat mereka malah berani memarahi pengguna yang datang berurusan dengan kata-kata kesat.

Mereka menjadikan pengalaman sebagai alasan untuk terus berkhidmat tanpa memberikan peluang kepada generasi baru untuk menimba pengalaman tersebut. Mereka mendabik dada mengatakan mereka lebih baik berbanding lepasan universiti kerana mereka lebih tahu segala tugas yang perlu dilakukan sedangkan lepasan universiti hanya tahu teori sahaja.

Mengapa mereka begitu sukar untuk melepaskan kerja mereka kepada generasi baru? Adakah kerana mereka selesa dengan kerja yang boleh bersenang-lenang tapi dapat gaji besar? Atau mungkin kerana hajat peribadi yang belum tercapai seperti ‘mengumpul kekayaan’ dalam tugas mereka yang berkaitan dengan hakmilik tanah, projek dan kontrak, tender, dan lain-lain lagi yang boleh ‘dijual’?

Jika adapun peluang kerja baru, banyak juga rungutan dan ketidakpuasan hati yang diutarakan. Masalah ‘kabel’ dalam pekerjaan menjadi racun dalam menjana modal insan yang berkualiti. Pihak yang mempunyai ‘orang dalam’ mampu mendapat jawatan atau kedudukan walaupun kelayakannya tidak seperti yang disyaratkan. Peluang bagi calon yang tidak mempunyai ‘orang dalam’ boleh diibaratkan gelap tanpa peluang bernafas.

Kerajaan telah mencanangkan pelbagai usaha untuk membina modal insan dan memberi peluang kerja kepada lepasan universiti. Namun malangnya tiada sebarang susulan yang dibuat untuk memastikan kejayaan dasar tersebut. Maka masalah kroni dan ‘orang dalam’ terus berleluasa.

Andainya kesempitan hidup dan desakan maruah menyebabkan rakyat Malaysia mengalami tekanan hidup, tidak hairanlah bila masalah jenayah semakin berleluasa. Mereka terpaksa buat apa sahaja untuk meneruskan kehidupan. Menjual dadah dan pil khayal, merompak, menyamun, dan apa sahaja yang boleh mendatangkan wang akan menjadi pekerjaan utama bagi rakyat yang tidak diberikan peluang kerja.

0 comments:

Followers

Technorati

Add to Technorati Favorites

  ©Template by Dicas Blogger.